SEJAK zaman purba madu diakui sebagai makanan berkhasiat dan dijadikan sebagai sumber tenaga yang penting. Kini selain berfungsi sebagai makanan tambahan, madu turut digunakan sebagai agen pemanis, pewarna, perasa dan menambah kelikatan dalam produk makanan.
Ia mula digunakan secara meluas dalam perubatan tradisional sebagai rawatan alternatif untuk pelbagai penyakit, pemakanan dan kesihatan manusia.
Sering dilabel sebagai makanan tambahan dalam kategori makanan sunnah, madu mempunyai banyak khasiat. Antaranya boleh digunakan dalam membantu menurunkan berat badan dan mengawal pemakanan jika diamalkan dengan cara yang betul.
Namun terdapat beberapa pandangan yang skeptikal mengenai madu sehingga mengaitkan madu sebagai punca utama diabetes. Ditambah pula dengan peningkatan pesakit diabetes yang dirujuk di hospital dan ramai mengakui menjadi pengguna produk makanan tambahan berasaskan makanan sunnah.
Kini madu boleh dibeli di mana-mana sahaja. Sama ada ia benar-benar tulen atau tidak sukar untuk dipastikan. Lambakan madu tiruan yang banyak mengandungi gula, sekali gus memudaratkan kesihatan. Ini menyebabkan pengguna sendiri ragu-ragu untuk memilikinya.
Berikutan itu langkah yang diambil pensyarah Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Prof Madya Dr Wan Iryani Wan Ismail yang menjadikan madu sebagai bahan kajiannya perlu dipuji.
Menurut Dr Wan Iryani, dia terpanggil menjalankan kajian secara saintifik selepas menyedari wujudnya pelbagai tanggapan tidak enak mengenai madu. Paling selalu, ada mengatakan madu tinggi kandungan gula dan boleh menyebabkan kencing manis.
“Saya agak terkejut dengan pendapat ini sedangkan madu ada disebut dalam al-Quran sebagai makanan ahli syurga dan di dalamnya mengandungi penyembuh penyakit untuk manusia.
“Mana mungkin ia mendatangkan kemudaratan jika dimakan dengan cara yang betul. Saya tegaskan, apa sahaja makanan yang baik perlu diambil secara bersederhana. Baru kita akan dapat manfaatnya. Selepas itu baru saya tahu, lambakan produk tiruan menyebabkan kebaikan madu asli ditutupi oleh keburukannya,” katanya.
Bagi membuktikan madu mampu menurunkan berat badan, dia bersama pasukannya mengambil inisiatif menjalankan kajian dan pembangunan (R&D) ke atas madu.
Pensyarah Fakulti Sains dan Sekitaran Marin UMT itu berkata, penyelidikan yang dilakukannya sejak 10 tahun lali mendapati dengan hanya mengambil madu asli secara konsisten setiap pagi, selera makan seseorang boleh dikawal.
“Apabila kawalan kepada selera makan berlaku, ia dapat mengurangkan pengambilan makanan seterusnya masalah obesiti dapat ditangani,” katanya.
Menurut Dr Wan Iryani, masyarakat dahulu mengamalkan madu untuk menguatkan badan dan mengelak penyakit. Namun ia perlu diambil secara konsisten.
Madu juga antara sumber makanan yang mudah, murah dan tidak mempunyai kesan sampingan. Madu mengandungi khasiat lengkap untuk memberi tenaga kepada tubuh.
Namun ada yang mempertikaikannya dengan menyatakan madu itu manis dan mereka dapat penyakit diabetes dan berat badan meningkat selepas mengambil madu.
“Di Malaysia kadar obesiti sangat membimbangkan. Walaupun pelbagai cara dilakukan menerusi kempen kesedaran namun ia tidak mengubah peratusannya. Menerusi kajian terhadap madu saya dapati ia jenis makanan paling sesuai untuk berdiet. Ini kerana madu asli mengandungi gula ringkas yang akan bertukar menjadi tenaga apabila digunakan,” katanya.
Kajian Dalam Makmal
Menurut Dr Wan Iryani, dia memulakan kajiannya mengenai madu pada 2011 sehingga 2018 dengan memberinya kepada tikus putih.
“Daripada eksperimen yang dijalankan menunjukkan tikus yang diberi madu asli semakin kurus dan sihat, manakala tikus yang diberi madu tiruan semakin gemuk dan mempunyai banyak penyakit,” katanya yang menggunakan mesin menguji ketulenan bagi membezakan antara madu asli dan tiruan.
Apa yang boleh dirumuskan, amalan pengambilan madu tiruan menyebabkan berat badan kekal sama. Pada masa sama melalui penyelidikan itu juga, Dr Wan Iryani dapat mengenal pasti beberapa kaedah untuk membezakan antara madu asli dan tiruan. Selain ujian makmal dan mesin, melalui rasa, bau dan penglihatan juga boleh dipraktikkan oleh masyarakat.
“Madu asli mempunyai rasa dan bau khas seakan-akan tumbuhan dan bunga, manakala madu tiruan berbau air gula dan tengik serta rasanya terlampau manis. Madu tiruan juga warnanya lebih lut sinar dan jelas tidak seperti madu asli yang lebih keruh kerana mengandungi bahan aktif,” katanya.
Kajian mengenai madu yang dibuat Dr Wan Iryani ini melayakkannya menerima anugerah L’Oreal – Unesco Fellowship For Women In Science (FWIS) baru-baru ini, yang mengiktiraf usahanya menghasilkan kajian berinovatif dan bermanfaat kepada masyarakat.
Dia bersama dua lagi saintis wanita tempatan yang menerima anugerah berkenaan diberi wang geran berjumlah RM30,000 untuk meneruskan projek mereka.
Menurut Dr Wan Iryani, wang geran ini akan digunakan untuk meneruskan kajian dan menguji suplemen madu asli itu ke atas manusia. Pada masa sama dia akan mengenal pasti jumlah dos yang diperlukan untuk mengawal obesiti.
“Kajian seterusnya adalah sangat penting kerana saya mahu mengenal pasti dos yang diperlukan. Untuk itu madu ini akan diberikan kepada manusia yang mempunyai berat badan berlebihan.
“Saya akan memantau dan melihat bagaimana madu memberi tindak balas di dalam badan seterusnya mengkaji bagaimana madu dapat merangsang sel-sel lemak. Ini yang perlu diketahui bagi menyiapkan madu sebagai makanan tambahan sebenar menurunkan berat badan,” katanya.
Kajian ke atas manusia juga amat penting bagi menentukan dos pengambilan sama ada perlu diambil setiap hari atau sebaliknya. Sebaik menerima geran, kajian ini akan diteruskan pada tahun ini dan seterusnya.
Walaupun belum siap sepenuhnya namun menurut Dr Wan Iryani, makanan tambahan berasaskan madu asli ini dijangka menemui pasaran selepas keputusan diperoleh.
“Kini sudah ada beberapa syarikat menawarkan diri untuk memasarkan produk ini. Saya gembira sekiranya madu ini dapat memberi kebaikan kepada masyarakat terutama mereka yang ingin menurunkan berat badan,” katanya yang mendapatkan sendiri madu asli di hutan untuk analisis makmal.
Rujukan:
https://www.hmetro.com.my/amp/WM/2020/01/533810/prejudis-khasiat-madu